PRU15: Anwar tiada pendirian, cakap berbelit ikut keadaan, kepentingan diri
BEKAS Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tiada pendirian serta bercakap berbelit-beli mengikut keadaan dan kepentingan peribadi.
Jelas Najib, ia dibuktikan apabila Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan tidak sah namun kini Anwar sendiri yang mempertahankan kerajaan yang didakwanya sebegai ‘pintu belakang’ itu.
“Anwar ini cakap berbelit-belit mengikut keadaan dan kepentingan diri. Tiada pendirian langsung.
“Dulu dia kata kerajaan selepas PH adalah kerajaan pintu belakang, kerajaan tak sah, perompak mandat rakyat, bukan dipilih rakyat dan sebagainya.
“Tapi hari ini dia pula mahu pertahankan kerajaan yang dia kata adalah kerajaan pintu belakang, kerajaan tak sah, tak ada mandat rakyat, bukan dipilih rakyat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Najib berkata, Anwar sendiri tidak mahu mengembalikan mandat pada rakyat untuk memulihkan satu kerajaan yang sah selepas mendakwa kerajaan hari ini sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ itu,
“Naratif ‘kluster mahkamah mahu selesaikan kes’ adalah alasan yang rapuh serta menipu oleh pihak-pihak yang takut pilihanraya.
“Partinya (Anwar) makan telur (tidak memenangi sebarang kerusi) di PRN Melaka, makan telur di PRN Sarawak dan menang satu kerusi (daripada 56) di PRN Johor.
“Sebaliknya, jika PKR menang 20, 20 dan 30 di PRN masing-masing, dah lama Anwar desak Parlimen dibubarkan dengan segera serta tuduh kerajaan hari ini penakut sebab tidak mahu kembalikan mandat pada Rakyat,” katanya.
Malah, Najib juga percaya sekiranya PKR mampu mencipta kemenangan kukuh di ketiga-tiga PRN itu pasti naratif Anwar terhadap keperluan mengadakan PRU15 dengan segera, akan berubah.
“Realitinya ialah sebagaimana diberitahu Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang) mengadakan PRU15 sekarang mampu menyelesaikan masalah paling serius sejak PRU14 dengan memulihkan sebuah kerajaan yang kuat serta kembalikan kepercayaan rakyat.
“Kerajaan yang kuat dan stabil dengan dasar-dasar lebih elok juga mampu menarik lebih banyak pelaburan asing, memperkuatkan pasaran.
“Syarikat penarafan kredit antarabangsa dunai pun kata sekiranya PRU15 diadakan sekarang dan sebuah kerajaan yang kuat dikembalikan maka dasar-dasar kerajaan juga akan bertambah baik,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, desakan untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya awal dapat diadakan adalah tindakan terdesak beberapa pemimpin Umno untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka. – Malaysiapost