‘Saksi menangis kerana saya difitnah’

‘Saksi menangis kerana saya difitnah’

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu mahkamah beliau tidak terkejut dengan kenyataan Datuk Abu Hanifah, salah seorang saksi pendakwaan bahawa tuduhan dikenakan ke atasnya adalah fitnah.

Saksi itu dikatakan menangis ketika disoal di peringkat pendakwaan berhubung tuduhan penerimaan cek bernilai RM6 juta oleh Ahmad Zahid di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Seri Satria, Putrajaya pada 2017.

Menjawab soalan peguam bela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid berkata beliau dan Abu Hanifah adalah kenalan lama dan rakannya itu amat memahami hati budi dan sebarang tindakannya.

“Dia bukan hanya kata tuduhan atas sumbangan itu adalah satu fitnah, malah di kandang saksi ini beliau menangis dan tidak dapat menerima bahawa tuduhan itu adalah sebagaimana yang telah dikenakan kepada saya.

“Kerana saya kenal beliau begitu lama, sejak beliau dalam bidang perakaunan, beliau juga juruaudit, dalam politik juga ada.

“Beliau amat mengetahui apa yang saya lakukan dari segi aktiviti kebajikan maka beliau berikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi dengan hasrat beliau turut beri sumbangan untuk aktiviti yang saya lakukan.

“Keterangannya adalah beliau terpanggil untuk turut memberi sumbangan itu, dan tiada kaitan langsung sumbangan itu dengan Datasonic,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – Malaysiapost

Komen