Tajuddin adakan sidang media petang ini, jawab isu pemecatan

SELEPAS hampir seminggu mendiamkan diri, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan mengadakan satu sidang media, dipercayai berkaitan isu pemecatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, petang ini.

Sidang media berkenaan akan berlangsung di Eastin Hotel, Petaling Jaya pada jam 3 petang.

Sejak dipecat daripada MKT Umno menerusi surat yang tular bertarikh 21 Jun lalu, ini adalah penampilan pertama Tajuddin berhadapan dengan media.

Terdahulu, media melaporkan, Tajuddin digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menerusi surat yang tular minggu lalu.

Pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak itu, antara lain dipercayai berpunca akibat kritikannya terhadap parti.

Malah, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengguguran Tajuddin dibuat mengikut peraturan dan Perlembagaan parti.

Menurut Ahmad Zahid, mana-mana pemimpin yang dilantik tidak boleh membuat rayuan jika digugurkan daripada jawatan.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu sebelum ini digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno, malah sering dilihat bercanggah pandangan dengan kepemimpinan tertinggi parti termasuk dalam isu tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights