Tajuddin dakwa Tok Mat, Najib lancar gerakan jatuhkan Zahid

Tajuddin dakwa Tok Mat, Najib lancar gerakan jatuhkan Zahid

Najamuddin Mohd Nor

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai gerakan untuk menjatuhkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dilucutkan jawatan itu mendakwa, gerakan itu turut dibantu Datuk Seri Najib Razak kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh.

“Ketuanya siapa?… Tok Mat (Mohamad) dan Bossku (Najib)..suruh turun buat tinjauan berapa ketua bahagian yang setuju, 130 bahagian yang setuju (Ahmad Zahid berundur),” katanya.

Bekas Pengarah Pilihan Raya Umno itu berkata demikian dalam sidang media khas berhubung pemecatannya sebagai ahli MKT Umno di ibu negara hari ini.

Menurut Tajuddin, gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid itu berlaku pada Mei 2020 di kediamannya.

Gambar didakwa dihadiri Mohamad serta Najib dalam usaha mendesak Ahmad Zahid berundur sebagai Presiden Umno.

Beliau juga secara terbuka meminta Ahmad Zahid berundur sebagai Presiden Umno serta mengesyorkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu agar memberi tumpuan terhadap kes dihadapinya di mahkamah.

Ini kerana katanya, Ahmad Zahid berdepan tuduhan rasuah yang banyak.

Tambahnya, Ahmad Zahid tidak sesuai lagi menggalas jawatan Presiden Umno malah menjadi liabiliti kepada parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat. Dia tak mampu memimpin Umno kerana banyak keputusan yang berbolak balik, menipu ahli, orang bawahan tak tahu, nampak memang cantik saja Umno ni.

“Bagi saya lebih baik dia fokus kes-kes mahkamah yang banyak tu. Fokus itu dulu. Itu yang terbaik, kita doakan yang terbaik kepada dia.

“Bagi saya eloklah dia berundur, jangan jadi liabiliti kepada parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Tajuddin menjelaskan, sudah tiba masanya Presiden Umno digalas oleh Perdana Menteri.

“Tengoklah sekarang, kita ada dua nakhoda, kan cantik kalau Perdana Menteri jadi presiden parti macam dulu-dulu.

“Adakan pemilihan parti, kita pilihlah Perdana Menteri jadi Presiden,” katanya. – Malaysiapost

Komen