Tengok cerita Mat Kilau tak haram – Pemuda Pas

Tengok cerita Mat Kilau tak haram – Pemuda Pas

MENONTON wayang tidak haram jika cerita ditayangkan menyeru kepada kebaikan, mengajak orang mengenal sejarah dan mengajak mencintakan negara, kata Pemuda Pas.

Pemuda Pas yang sebelum ini bertegas tidak menyokong pembukaan pawagam di Kelantan bagi membendung gejala sosial, dikecam dan dianggap hipokrit apabila Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari menonton filem Mat Kilau di ibu negara baru-baru ini.

Seorang pentadbir laman Facebook rasmi Pemuda Pas dengan nama ‘Zack’ tampil mempertahankan tindakan Ahmad Fadhli dengan memberi beberapa penerangan mengenai adab menonton wayang yang dibenarkan Islam.

“Tengok wayang bukan haram terus. Kalau cerita ditayangkan itu seru kepada kebaikan, ajak orang kenal sejarah, ajak cintakan negara, itu tak haram.

“Kalau cerita ditayangkan itu pelakonnya semua tutup aurat, tengok wayang jaga batas syarak, itu tak haram,” katanya dalam satu hantaran di Facebook Pemuda Pas Malaysia, hari ini.

Zack turut menjelaskan pendirian Pemuda Pas yang menyatakan panggung wayang tetap dikategorikan haram sekiranya tidak menepati syariat Islam.

“Tengok wayang haram kalau duduk berdua-duaan dengan bukan mahram, sebelah-sebelah, tengok wayang cerita ‘cintan-cintun’ itu haram; ajak kepada kemaksiatan dan tiada nilai pengajaran, itu haram.

“Tengok wayang sampai lupa solat, masuk waktu solat pun masih di pawagam, itu haram,” katanya.

Menurutnya, Pemuda Pas memang tidak bersetuju panggung wayang dibuka dekat Kelantan, selagi panggung wayang itu tidak menyelesaikan bab-bab yang menyebabkan menonton wayang itu haram.

“Kalau panggung wayang tu boleh asingkan tempat duduk lelaki perempuan dan keluarga, boleh set tiada tayangan semasa waktu solat, boleh pastikan cerita yang ditayang betul-betul patuh syariah, tak ada masalah. Kita pun setuju,” katanya.

Zack turut menjelaskan ketika Ahmad Fadhli bersama beberapa Pemuda Pas lain menonton filem Mat Kilau di pawagam baru-baru ini, mereka tidak duduk sebelah penonton wanita.

“Kami beli 20 seat bang. Semua lelaki. Tak ada siapa duduk sebelah perempuan. Abang pun, tanya lah dulu sebelum kecam,” katanya. – Malaysiapost

Komen