Terima kasih Maurico – JDT

Terima kasih Maurico – JDT

SKUAD Harimau Selatan mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada pemain pertahanannya, Mauricio dos Santos Nascimento yang sudah bersama pasukan itu selama empat musim.

Pemain dari Brazil berusia 33 tahun itu telah bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak tahun 2019 dan memenangi lapan trofi bersama skuad itu.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Mauricio Dos Santos.

“Terima kasih atas khidmat dan komitmen cemerlang sepanjang empat musim di mana kita memenangi lapan trofi bersama-sama.

“Anda adalah legenda kelab dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT,” menurut JDT dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Pengumuman yang dibuat JDT itu turut mencetuskan tanda tanya siapa pemain yang akan dibawa masuk untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Mauricio.

Ketika ini terdapat tiga nama yang dikaitkan bakal menyertai kelab itu termasuk pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools, Jordi Amat dan Daniel Ting.

Bagaimanapun belum ada apa-apa pengumuman mengenai pemain baharu yang akan menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sebelum ini mendedahkan kelab itu akan menandatangani empat pemain baharu iaitu dua pemain luar negara dan dua pemain tempatan.

Persoalan mengenai pemain baharu itu juga mungkin akan terjawab dalam sesi penyokong JDT bersama pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dijadualkan jam 8 malam ini. – Malaysiapost

Komen