PROJEK pembangunan semula Kampung Sungai Baru di ibu negara telah mendapat persetujuan sebahagian besar penduduk kawasan terbabit.
Menurut Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP), Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata perjanjian usaha sama telah pun ditandatangani antara 192 petak rumah pangsa dan 27 unit rumah teres dengan pihak pemaju.
Jelasnya, perkara utama yang menjadi tumpuan adalah berkaitan sebahagian penduduk tidak bersetuju kepada proses pengambilan tanah dan nilai pampasan yang diperoleh.
“Pengambilan tanah dilaksanakan ke atas pemilik-pemilik tanah yang tidak menandatangani usaha sama dengan pemaju.
“Setakat ini, pengambilan tanah telah sempurna dilaksanakan terhadap 72 petak rumah pangsa bagi tujuan pembangunan semula.
“Hanya berbaki 37 unit rumah teres sahaja lagi yang masih belum dilaksanakan siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Yasir, urusan pengambilan tanah adalah berlandaskan peruntukan undang-undang jelas, maka pampasan mencukupi telah digunapakai berdasarkan nilai diberi oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).
Namun begitu, katanya, pihaknya yang terkilan terhadap nilai pampasan masih boleh merayu kepada mahkamah, dan mahkamah akan menilai semula pampasan yang bersesuaian kepada perayu.
“Pejabat ini bersetuju pengambilan tanah diteruskan kerana proses tersebut telah pun dilaksanakan dengan sempurna dan majoriti penduduk bersetuju di atas pembangunan semula Kampung Sungai Baru,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, satu pertemuan antara penduduk terlibat akan diadakan pihak Menteri Wilayah Persekutuan bagi memberi penerangan dan penjelasan untuk memastikan situasi menang-menang.
Baru-baru ini, Parti Pejuang Wilayah Persekutuan mendakwa proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, bercanggah dengan undang-undang khususnya Akta Pengambilan Tanah 1960.
Pengerusinya, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata mana mungkin tanah milik peribadi yang bergeran diambil dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tujuan pembangunan komersil tanpa unsur-unsur pembangunan bagi kepentingan awam.
Justeru, Khairuddin berkata, Pejuang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menyelesaikan isu berkenaan. – Malaysiapost