’10 dia cakap, satu tak boleh percaya’ – Zahida bidas Rafizi

’10 dia cakap, satu tak boleh percaya’ – Zahida bidas Rafizi

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarikh Khan mendakwa segala formula Rafizi Ramli yang dibentangkan sebelum ini sudah terbukti hanya auta semata-mata untuk memperdaya rakyat.

Beliau berkata, pelbagai formula Rafizi termasuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak dan harga kereta, namun tidak ada satu pun dilaksanakan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

“Kalau dulu mungkin ada yang akan percaya. Tapi dah terbukti pun segala formula Rafizi hanya auta semata-mata. Bermain dengan angka-angka untuk perdaya rakyat, menipu rakyat.

“Ingat lagi? Harga minyak RM1.50? Ingat lagi turunkan harga kereta? Ingat lagi siapa sebut hapus GST harga barang akan diturunkan? Ingat lagi janji hapus PTPTN?,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, perkara itu sekali gus membuktikan apa yang diperkatakan Rafizi langsung tidak boleh dipercayai.

“Bila mereka dah ada kuasa 22 bulan satu pun tak ditunaikan. Macam kata orang, ‘Satu dia cakap, 10 tak boleh percaya’,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat tidak memerlukan ‘raja formula’ sebaliknya penyelesaian konkrit bagi menangani kos sara hidup dan isu sekuriti makanan negara.

Kenyataan Ahmad Zahid itu bagi membidas dakwaan Rafizi yang memperlekehkan cadangan Umno untuk menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan, sebaliknya mencadangkan badan khas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan. – Malaysiapost

Komen