Nahar Tajri
“SAYA mati, kubur saya akan banjir,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau menyatakan demikian kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kuburnya akan banjir keesokannya, jika beliau keluar Umno untuk menyertai Bersatu.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu dinyatakan beliau kepada Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri ketujuh dalam satu perjumpaan empat mata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Jun 2018.
“Saya menolak (permintaan Dr Mahathir) untuk membubarkan Umno. Saya katakan padanya, ditakdirkan saya menyertai Bersatu selepas diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Presiden, esoknya (apabila) saya mati, kubur saya akan banjir,” katanya
Ketika disoal peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mengapa kuburnya akan banjir, Ahmad Zahid menjawab: “Ada 3.8 juta ahli Umno akan datang dan kencing atas kubur saya sebab itu akan banjir,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, dalam perjumpaan tersebut, Dr Mahathir memintanya membubarkan Ummo dan semua ahli parti menyertai Bersatu atas nama Melayu.
Menurutnya, Dr Mahathir memintanya melupakan Umno yang disifatkannya sudah terlalu kotor.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kecemburuan dalam politik lebih teruk daripada kecemburuan antara suami dan isteri.
Katanya, ia adalah rentetan daripada sejarah panjangnya dalam arena politik sehingga menjurus kepada pendakwaan yang disifatkannya sebagai dakwaan politik.
Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, di dalam pengetahuannya beserta bukti yang ada padanya, ahli politik teridiri daripada ahli Parlimen Jeli, Masjid Tanah dan Mersing melakukan kesalahan lebih serius tetapi mengambil langkah segera untuk menyeberang ke parti pimpinan Dr Mahathir.
Dakwanya, hasilnya mereka selamat dari pendakwaan politik manakala kes beliau terpaksa digali sedalamnya bagi membolehkan beliau dituduh di mahkamah.
“Kes membabitkan mereka ini saya ketahui secara peribadi, ada bukti bukti bersama saya,” katanya. – Malaysiapost