Nahar Tajri
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tiga Ahli Parlimen daripada Umno menyeberang ke Bersatu sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk “menyelamatkan diri”.
Ia selepas mereka disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya faham mereka mempunyai beberapa kes yang disiasat SPRM,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu ketika membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram dana Yayasan Akalbudi.
Tanpa menyebut nama Ahli Parlimen itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, mereka dari Masjid Tanah, Jeli dan Bagan Serai.
Katanya, Ahli Parlimen Masjid Tanah dipertanggungjawabkan dengan dana untuk menguruskan Puteri Umno dalam PRU namun wang itu dipindahkan ke akaun lain untuk kegunaan peribadi.
Kes Ahli Parlimen Jeli pula katanya, individu tersebut mengetuai Umno Kelantan yang bertanggungjawab membawa pengundi dari luar untuk mengundi dalam PRU14 tetapi wang RM30 juta tidak dibelanjakan.
“Ketika mendapat tahu perkara itu, saya sedang memangku kerja presiden parti selepas ditinggalkan Najib (Razak), jadi laporan itu semuanya ada pada saya,” katanya.
Ahmad Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri. – Malaysiapost