5 beranak termasuk bayi maut nahas 

5 beranak termasuk bayi maut nahas 

LIMA beranak maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler di Kilometer 36 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran sebuah stesen minyak dekat Gambang di Kuantan, hari ini. 

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Muhammad Rosli Ibrahim,32; isterinya, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, serta seorang bayi yang dipangku penumpang hadapan, lapor Kosmo! 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata nahas kira-kira jam 3.40 petang itu berlaku ketika semua mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota dalam perjalanan dari arah Muadzam ke Kuantan. 

“Apabila tiba di tempat kejadian tiba-tiba pemandu kereta dipercayai masuk ke laluan treler (bertentangan) menyebabkan pemandu treler cuba mengelak ke kiri jalan namun kerana jarak terlalu dekat telah melanggar bahagian hadapan kereta. 

“Semua lima penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. 

Wan Mohd. Zahari, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

Komen