SERAMAI 50 penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam, memfailkan saman terhadap beberapa agensi kerajaan Pusat dan negeri atas alasan kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab ketika banjir buruk, Disember tahun lalu.
Berita Harian melaporkan, dalam saman itu, mereka menamakan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri; Menteri Alam Sekitar dan Air, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); KDEB Waste Management Sdn Bhd; Tenaga Nasional Berhad (TNB); kerajaan Selangor dan Malaysia sebagai defendan.
Menerusi saman difailkan firma guaman Tanes, Khoo & Paulraj di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu, plaintif menuntut ganti rugi khas RM3.8 juta daripada defendan, tidak termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan lain-lain kos.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif menyatakan beberapa tuntutan terhadap defendan antaranya deklarasi NADMA telah gagal melaksanakan pengurusan bencana alam dengan berkesan.
MetMalaysia pula menurut mereka, gagal mengemaskini secara efektif dan tepat mengenai cuaca semasa melanda Taman Sri Muda sehingga mengakibatkan banjir; gagal dalam proses penyediaan laporan, analisis, membuat keputusan dan pengurusan data untuk memastikan penyaluran maklumat cepat dan tepat kepada agensi respons.
MetMalaysia juga gagal dalam memberi amaran kepada plaintif-plaintif mengenai fenomena cuaca buruk yang membawa kepada banjir berkenaan.
Plaintif berkata, JPS secara salah membenar sistem perparitan Taman Sri Muda menjadi terlebih muatan; gagal memastikan pematuhan syarat pengurusan air ribut sebelum memberi kelulusan untuk projek pembangunan baharu di dalam atau sekitar kawasan itu; dan gagal membaiki serta menggantikan pam air rosak yang dipasang untuk memintas pintu pasang surut dan menolak air masuk ke dalam sungai Klang.
Tambah plaintif, MBSA pula gagal memastikan pembinaan saliran yang betul di Taman Sri Muda; gagal mengambil kira pertimbangan perancangan yang sewajarnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada pertimbangan pengurusan air ribut dan pematuhan serta pertimbangan kapasiti saliran, sebelum meluluskan projek pembangunan dan gagal melaksanakan perlindungan secara proaktif dan bukannya reaktif berhubung Taman Sri Muda, yang terkenal dengan kerentanannya terhadap banjir.
Plaintif berkata, KDEB Waste Management gagal membersihkan saliran Taman Sri Muda secara berkala dan gagal melaksanakan pelan tindakan untuk pembersihan sampah tersebut sekiranya berlaku banjir.
TNB pula menurut plaintif gagal melaksanakan pengganti secara manual atau hidraulik untuk pintu air dan gagal menyediakan penjana mudah alih di tempat kejadian untuk mengambil kira sebarang isu yang berpotensi dengan bekalan kuasa.
Peguam V Vemal Arasan memaklumkan, pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 25 Julai depan. – Malaysiapost