Cerita ‘tikus’ yang mengaum – Ahmad Shabery

Cerita ‘tikus’ yang mengaum – Ahmad Shabery

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkongsikan cerita ‘Tikus yang mengaum’ di laman Facebooknya hari ini yang boleh ditafsirkan merujuk kepada keadaan pergolakan dalaman yang kini melanda Umno.

Walaupun tidak mengaitkan cerita yang dikongsinya dengan mana-mana pihak, namun dipercayai ia merujuk kepada bekas Ahli MKT Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang membuat beberapa pendedahan semalam.

Ahmad Shabery menceritakan mengenai seekor ‘tikus’ yang dalam bahaya kerana ingin dibaham musang dan meminta pertolongan seorang tua sakti.

“Orang tua menggunakan kuasa saktinya menukar tikus menjadi harimau. Tikus yang menjadi harimau terus mengaum dan menghambat musang ke tengah hutan.

“Menyedari dirinya hebat, harimau terus menyergah dan menerkam semua binatang lain pula. Ramai menjadi menjadi mangsa hingga hutan tak lagi tenteram. Kini, harimau menganggap tidak ada siapa yang lebih hebat daripadanya kecuali orang tua tadi.

“Satu pagi, dengan perlahan dia bergerak untuk menerkam orang tua yang sedang bertapa. Orang tua sempat berpaling dan terus menggunakan kuasa saktinya menukar harimau kembali menjadi tikus,” ceritanya.

Ceritanya lagi, bila merasa diri sudah tidak ada apa-apa, ‘tikus’ berkenaan mengumpul ‘tikus-tikus’ lain untuk melancar protes bagi mendesak dirinya dijadikan harimau semula.

“Jawab tikus-tikus lain: “Sepatutnya kau berterima kasih kepada orang tua yang menyelamatkan kau dulu.

“Kau bukan sahaja tak bersyukur, kau huru-harakan hutan ini termasuk kami di kalangan tikus-tikus kecil..dan nak bunuh pula orang tua tu. Insaflah wahai kawan ku”,” ceritanya.

Ahmad Shabery berkata, pengajaran daripada cerita yang disampaikannya itu adalah dengan membayangkan ‘orang tua sakti’ terbabit adalah rakyat jelata.

“Tak perlu percaya cerita sakti. Tapi boleh bayangkan orang tua itu adalah rakyat jelata atau sesiapa yang boleh menjadikan orang biasa mendapat kedudukan, pangkat dan dilihat hebat,” katanya.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dalam satu sidang media semalam, mendedahkan 130 Bahagian Umno mahu Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Menurutnya, gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dibantu Datuk Seri Najib Razak kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh.

Beliau turut mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, Tajuddin juga memaklumkan beliau tiada masalah untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang. – Malaysiapost

Komen