Dua kapal korek bersauh tanpa kebenaran ditahan

Dua kapal korek bersauh tanpa kebenaran ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua kapal korek yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Kuala Selangor pada sekitar jam 11 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, operasi dilakukan bersama dua anggota Jabatan Laut Pelabuhan Klang bagi melakukan pemeriksaan terhadap dua kapal korek yang berlabuh tunggu di perairan pantai Acheh.

Menurutnya, Bot Perkasa 36 diatur gerak ke lokasi untuk menahan kapal korek MV Inai Terasek dan MV Inai Kenanga yang dikesan berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika timur pantai Acheh.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal korek MV Inai Terasek dikendalikan dua warga tempatan dan empat warga Indonesia. 

“Manakala kru MV Inai Kenaga terdiri daripada 13 warga tempatan, empat warga Indonesia, masing-masing seorang warga Myanmar dan warga Filipina yang kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Kapal, nakhoda dan semua kru kedua-dua kapal korek itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di perairan Selangor,” katanya.

Beliau menasihatkan pengusaha syarikat perkapalan atau pemilik kapal untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia. – Malaysiapost

Komen