‘Elaun Pengerusi FGV naik, apa faedahnya pada peneroka Felda?’ – Syed Saddiq

‘Elaun Pengerusi FGV naik, apa faedahnya pada peneroka Felda?’ – Syed Saddiq

FGV Holdings Bhd (FGV) harus mengutamakan peneroka Felda terlebih dahulu, berbanding menaikkan elaun Pengerusinya, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, sepatutnya fokus utama FGV adalah kebajikan peneroka Felda kerana kumpulan itu antara yang terkesan dengan kenaikan harga barang.

“Ayam naik harga, sayur naik harga, minyak masak naik harga, barangan sekolah naik harga, tambang bas dan kantin sekolah naik harga.

“Tapi janganlah elaun Pengerusi pun naik sampai RM480,000. Apa faedahnya kepada peneroka Felda?,” soalnya dalam sebuah hantaran di Facebook.

Syed Saddiq berkata, isu elaun Pengerusi Felda mendapat perhatian, syarikat tersebut memaklumkan akan mengkaji semula keputusan tersebut.

“Ingat, FGV harus utamakan peneroka Felda. Mereka tulang belakang industri ini,” tegasnya.

Terdahulu, FGV Holdings Bhd telah melantik perunding bebas untuk menjalankan kajian dan penanda aras membabitkan imbuhan pengarah bukan eksekutif.

FGV dalam satu kenyataan, berkata Pengerusi Bukan Eksekutif, Datuk Dzulkifli Abd Wahab, pada masa ini menerima wang tunai, yuran pengarah sebanyak RM300,000 setahun atau RM25,000 sebulan dan elaun kereta berjumlah RM180,000 setahun atau RM15,000 sebulan. – Malaysiapost

Komen