Hamzah sedia jumpa Mohamaddin

Hamzah sedia jumpa Mohamaddin

BERSATU masih menunggu pengesahan secara bertulis daripada Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti itu hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya juga masih belum menerima surat keluar parti daripada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tersebut.

“Saya pun belum terima (surat keluar Bersatu), dia pun baru cakap.

“Maklumlah orang ini kadang-kala ada perasaan, kena ikut sesetengah perasaan orang yang betul-betul cekal, macam mana pun dia lawan habis-habisan.

“Ada orang perangai macam itu, ada yang tak tahan, lemah dan macam-macam lagi, itu manusia,” kata Menteri Dalam Negeri itu pada sidang media di kementeriannya hari ini, lapor Malaysia Gazette.

BACA LAGI: Mohamaddin keluar Bersatu, jadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan

Hamzah juga tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan empat mata dengan Mohamaddin bagi membincangkan kedudukan bekas wakil rakyat Warisan itu.

“Dia pun ada hantar teks kepada saya pagi tadi, Insya-Allah tak ada berlalu apa-apa. Saya nak bincang dengan dia sebab dia nak bincang dengan saya.

“Nanti saya umumkan (pertemuan dengan Mohamaddin),” katanya. – Malaysiapost

Komen