Jangan biar Malaysia jadi seperti Sri Lanka’ – Mat Sabu

Jangan biar Malaysia jadi seperti Sri Lanka’ – Mat Sabu

KRISIS ekonomi melanda Sri Lanka perlu dijadikan contoh pentadbiran negara yang huru-hara membawa impak buruk kepada rakyat, khususnya sektor kewangan.

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu, berkata perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan berlaku di negara ini selain kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian dengan segera.

Katanya, jika terlambat rakyat akan menerima natijahnya dan tidak ada guna saling menyalahkan sesama pihak.

“Jangan biarkan negara kita jadi seperti Sri Lanka. Ketika itu, tak ada guna lagi memaki hamun lanun dan penyamun,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas kenaikan harga barang, terutama barang basah kebelakangan ini memberi kesan kepada pengguna.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Sebelum ini, media melaporkan rakyat Sri Lanka berdepan dengan detik paling sukar di tengah-tengah krisis kewangan terburuknya sejak kemerdekaan negara pada 1948 dengan sektor-sektor utama seperti makanan, minyak petrol, perubatan dan tenaga elektrik terjejas teruk

Krisis itu semakin parah apabila kerajaan Sri Lanka mengumumkan kegagalan Colombo untuk membayar hutang luar negaranya sebanyak AS$51 bilion (RM215.7 bilion), sekali gus memberi isyarat bahawa negara Asia Selatan itu telah jatuh muflis.

Kesan bagi krisis ekonomi Sri Lanka menjejaskan setiap penjuru sektor dan setiap pelosok negara itu.

Rumah-rumah dan kedai sering bergelap kerana bekalan elektrik terputus sehingga lapan jam setiap hari, penduduk terpaksa memasak menggunakan arang kayu selain barisan yang panjang di stesen-stesen minyak.

Peperiksaan-peperiksaan sekolah dan naskhah-naskhah akhbar juga terpaksa dihentikan disebabkan kerajaan dan syarikat media tidak mampu membeli kertas untuk mencetak.

Doktor-doktor pula mengisytiharkan krisis perubatan ketika farmasi-farmasi dan hospital-hospital kini kehabisan ubat-ubatan penting. Selain itu, pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai krisis kebuluran yang boleh menjejaskan 22 juta penduduk ketika bekalan makanan terus berkurang. – Malaysiapost

Komen