VETERAN DAP, Lim Kit Siang mengakui terkejut apabila mengetahui Datuk Seri Najib Razak turut hadir dalam perjumpaan yang mendakwa merancang menjatuhkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno.
Beliau berkata, pendedahan yang dibuat bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam, mengejutkannya kerana mendakwa Najib begitu bersemangat untuk bangkit semula sebagai perdana menteri selepas itu.
“Kehadiran Najib di rumah Tajuddin merupakan satu perkara yang mengejutkan, memandangkan selepas penemuan persona ‘Malu Apa Bossku’, dia telah bersemangat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi, sama ada yang ke-10 atau ke-11,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dengan pendedahan Tajuddin itu apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh MCA dan MIC sebagai parti sekutu Umno dalam Barisan Nasional (BN).
Katanya,selama empat tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tiada pemimpin MCA dan MIC yang menyatakan kekesalan terhadap sokongan perti tersebut berkaitan isu 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB).
“Malah, dalam pilihan raya umum negeri Melaka dan Johor, pemimpin dan calon MCA dan MIC bergantung kepada populariti Najib dengan persona ‘Malu Apa Bossku’ untuk mendapatkan undi, tanpa mempedulikan nama baik Malaysia yang kini tercemar sebagai ‘kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk’.
“Terdapat pemimpin Umno yang mula nampak antara perkara yang betul dan apa yang salah, namun perkara ini masih belum ditunjukkan oleh para pemimpin dan menteri MCA dan MIC,” katanya.
Semalam, Tajuddin yang dipecat sebagai ahli MKT Umno mendedahkan terdapat usaha menjatuhkan Ahmad Zahid oleh Najib dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mei 2020.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, perjumpaan tertutup diadakan di rumahnya membabitkan pimpinan tertinggi Umno. – Malaysiapost