Keputusan kes rogol Paul Yong ditangguhkan

Keputusan kes rogol Paul Yong ditangguhkan

KEPUTUSAN bagi kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dijadualkan esok ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu pada 27 Julai depan.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memaklumkan permohonan penangguhan itu dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Ipoh berikutan kematian ibu Paul Yong, kelmarin.

Menurutnya, Ling So Sing, 83, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat kegagalan jantung.

“Walaupun majlis pengebumian telah selesai, anak guam dan keluarga masih perlu mengikuti tempoh berkabung serta upacara lain sepanjang minggu ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sementara itu, Paul Yong yang juga Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) Perak, dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ibunya.

“Saya bersama seluruh keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ibu saya.

“Dengan ini, kami juga memberikan sumbangan melebihi RM200,000 kepada sekolah-sekolah, persatuan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan agama untuk mengenangi jasa ibu kami,”katanya.

Pada 17 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Paul Yong ketika menjawat jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya pada 23 Ogos 2019

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019 dan beliau didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen