Kerajaan kaji cadangan seragam kos caj dan fi pembangunan infrastruktur komunikasi – PM

Kerajaan kaji cadangan seragam kos caj dan fi pembangunan infrastruktur komunikasi – PM

JAWATANKUASA Khas Penyeragaman Kos Can dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri akan ditubuhkan dalam usaha menggalakkan penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri dipengerusikannya hari ini dan turut dihadiri Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme Penyerahan kos caj dan fi yang dikenakan bagi Pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

“Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyeragaman kos caj dan fi itu akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar. – Malaysiapost

Komen