KERAJAAN persekutuan dan negeri memperkukuhkan lagi kerjasama bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan pelbagai cabaran akibat daripada senario global masa kini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Menteri-Menteri Kabinet yang dipengerusikanya hari ini, memberi penekanan berhubung kerjasama itu.
Menurutnya, cabaran sekuriti bekalan makanan negara dipengaruhi beberapa faktor, antaranya adalah peningkatan harga input pertanian, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kerap berlaku banjir dan kemarau yang menggangu kitaran pengeluaran makanan.
“Untuk itu, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan Daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara inisiatif itu adalah meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milk negeri untuk aktiviti pertanian.
“Ini dengan mewartakan tanah pertanian sebagai tanah rizab untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hingga 21 tahun. Memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian.
“Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya.
Ismail Sabri berkata, inisiatif lain adalah mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan mengekalkan pewartaan Zone Industri Akuakultur (ZIA) serta mewartakan ZIA yang belum diwartakan.
“Selain itu, menyelaras proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.
“Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah dan inisiatif menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air mason yang lebih rendah untuk sektor agromakanan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan dan perincian lanjut akan dibuat Kementerian Kewangan. – Malaysiapost