Lufya Omar cedera ketika selamatkan anak daripada diculik

Lufya Omar cedera ketika selamatkan anak daripada diculik

PELAKON Lufya Omar berdepan detik cemas dan mengalami kecederaan dalam usaha menyelamatkan anak perempuannya Laana Haura daripada diculik seorang lelaki di sebuah padang permainan di Kota Damansara, Ahad lalu.

Menurutnya, seorang lelaki berbadan besar memukulnya menggunakan batang kayu di kepala, badan serta menyebabkan kecederaan pada wajah dan badannya.  

“Dua hari lepas Fya diserang oleh seorang lelaki yang nak cuba menculik anak perempuan saya. Masa tu kami berada di playground Kota Damansara pada lebih kurang jam 4ptg-5 ptg.

“Seorang lelaki Melayu yang bersifat dayus telah memukul Fya menggunakan batang kayu ke kepala, badan serta menyebabkan kecederaan pada wajah dan badan saya,” katanya di laman Instagram, hari ini.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, bagaimanapun bersyukur dia dan anaknya selamat daripada kejadian mencemaskan itu.

“Alhamdulillah, anak selamat dan Fya pun selamat. I’m a fighter!” katanya yang turut berkongsi beberapa gambar keadaan muka dan tangannya yang cedera dalam kejadian itu.

Pada masa sama, pelakon itu turut menggalakkan agar seseorang wanita perlu sekurang-kurangnya memiliki ilmu mempertahankan diri.

“Terpanggil nak kongsi sesuatu yang penting untuk kita semua. Apa yang Fya nak sampaikan kat sini demi keselamatan anak serta diri kita sendiri walaupun kita ni wanita yang lemah kita kena ada ilmu mempertahankan diri.

“Ikutkan orang yang menyerang tu lelaki yang agak besar dan kuat. Dengan izin Allah juga Fya dapat melawan dan menyelamatkan anak Fya.

“Syukur Alhamdulillah..pengajarannya kita mesti sentiasa waspada. Kita tak tahu orang zaman sekarang ni sanggup buat perkara-perkara yang keji. Manusia makin tiada kemanusiaan. Doakan kesembuhan dan keselamatan kami ya,” katanya.

Bagaimanapun Lufya tidak menyatakan sama ada telah melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen