MKT putuskan tindakan terhadap Tajuddin – Zahid 

MKT putuskan tindakan terhadap Tajuddin – Zahid 

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) akan menimbang serta memutuskan tindakan terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman jika ada saranan daripada Lembaga Disiplin parti. 

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan terserah kepada Lembaga Disiplin untuk menjalankan siasatan terhadap Tajuddin jika ada laporan dibuat. 

“Saya hormati perlembagaan parti yang adanya Lembaga Disiplin.  

“Jika Lembaga Disiplin dapat laporan, permintaan atau sebarang siasatan untuk sesuatu tindakan dilakukan, maka apa juga saranan Lembaga Dispilin akan dipertimbang dan diputuskan oleh MKT,” katanya ketika ditemui media di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Semalam Tajuddin yang dilucutkan jawatan sebagai ahli MKT minggu lalu, mendedahkan 130 bahagian Umno mahu Ahmad Zahid meletak jawatan. 

Menurutnya, gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dibantu Datuk Seri Najib Razak. 

Beliau turut mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. 

Selain itu, Tajuddin memaklumkan beliau tiada masalah untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang. – Malaysiapost

Komen