Mohamaddin keluar Bersatu, jadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan

Mohamaddin keluar Bersatu, jadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan

AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin KetapI mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, berkata keputusan beliau meninggalkan Bersatu adalah kerana tidak diberi apa-apa peranan dalam parti itu sejak menyertainya November lalu.

Katanya, beliau akan menjadi ahli Parlimen dan ADUN bebas yang mesra kerajaan.

“Saya dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, namun setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan yang diberikan,” katanya pada sidang media di sini, pagi ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai parti lain selepas ini, Mohammadin berkata, beliau belum memikirkan perkara itu lagi.

Katanya, tindakannya keluar Bersatu adalah atas kehendaknya sendiri tanpa berbincang dengan mana-mana pemimpin parti itu termasuk presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tidak bincang dengan Muhyiddin atau mana-mana pemimpin Bersatu kerana ini hak saya,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak bimbang digelar ‘katak’ berikutan tindakannya yang kerap keluar parti kerana orang ramai tidak memahami apa yang ditanggungnya berada dalam parti yang tidak memberi apa-apa peranan kepadanya.

“Saya keluar Warisan dan selepas itu saya masuk Bersatu, lepas enam bulan saya keluar Bersatu lagi. Banyak yang panggil katak lompat sana sini tapi rakyat tidak faham.

“Bayangkan apa jadi duduk saja dalam parti selama enam bulan, bukannya bertelur. Saya tidak bimbang pandangan orang ramai. Siapa panggil katak, kataklah panggil monyet, monyetlah.

“Kalau katak tiada pelajaran itu namanya di bawah tempurung tapi kalau ada pelajaran dia lompat di atas tempurung, untuk rakyat,” katanya.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Mohammadin mengumumkan keluar daripada Warisan dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat. Beliau kemudian memutuskan menyertai Bersatu pada 26 November 2021. – Malaysiapost

Komen