Pelaburan Mara lancar dana unit amanah baharu

Pelaburan Mara lancar dana unit amanah baharu

PMB Investment Berhad (PMB Investment), ahli Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (PMB), hari ini melancarkan dana terbaharunya, PMB Shariah Greater China Equity Fund (PSGCEF).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PSGCEF adalah dana ke-19 PMB Investment bagi memberi peluang pelabur memperoleh keuntungan jangka masa sederhana dan panjang.

“Dana pelaburan syariah ini sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap risiko sederhana hingga tinggi serta mencari pelaburan yang mampu beri pulangan stabil dalam tempoh tiga tahun atau lebih.

“Wilayah Tanah Besar China dipilih kerana PMB Investment belum mempunyai dana yang menyasarkan wilayah ini.

“PMB berpendapat wilayah China merupakan pasaran sangat besar dan berpotensi untuk meningkat pesat ekoran pembukaan semula aktiviti ekonominya dan pada masa ini saham-saham syarikat yang tersenarai di bursa tersebut masih berada pada paras menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Ulang tahun Pelaburan MARA Berhad Ke-55 dan Majlis Pelancaran Dana Unit Amanah PMB Investment Berhad di ibu negara hari ini.

Jelas Mahdzir, pelancaran dana unit amanah itu menerusi pelbagai portfolio pelaburan syariah yang tersenarai di Dow Jones Islamic Market (DJIM) Greater China Index, meliputi pasaran wilayah Tanah Besar China, Hong Kong, Taiwan dan Macau.

Katanya, strategi pelaburan PSGCEF ialah dengan melabur antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa wilayah Tanah Besar China dan tidak hanya terhad kepada DJIM Greater China Index sahaja.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pelaburan, PMB Investment berupaya memberi prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang,” katanya.

Mahdzir menambah, dana tersebut ditawar pada harga 50 sen seunit, bermula 26 Mei lalu dengan pelaburan minimum RM1,000 untuk pelabur runcit dan RM10,000 untuk pelabur institusi.

Pada majlis sama, Mahdzir menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pelantikan UOB Kay Hian sebagai Penasihat Institusi Saham Amanah untuk memasarkan produk-produk amanah PMB Investment.

Untuk rekod, PMB Investment mempunyai 19 dana unit amanah syariah yang dibuka untuk dilanggan oleh orang ramai.

PMB Investment kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM1.5 bilion setakat Mei 2022.

Satu lagi perjanjian turut ditandatangani iaitu berkaitan Pegangan Saham dengan syarikat Evergreen Corporate Sdn Bhd (ECSB).

ECSB merupakan sebuah syarikat kitar semula yang terlibat dalam memproses tayar terpakai menjadi diesel gred industri beroperasi di Teluk Gong, Selangor dengan kapasiti pengeluaran 60,000 liter diesel sehari.

ECSB dalam usaha untuk membina kilang tambahan di tanah miliknya di Simpang Pulai, Perak, di mana ianya mampu memproses 1 juta tan metrik tayar sehari dan menghasilkan 480 ribu liter diesel sehari. – Malaysiapost

Komen