Pemuda Umno, SPRM jalin kerjasama budayakan politik berintergriti dan bebas rasuah

Pemuda Umno, SPRM jalin kerjasama budayakan politik berintergriti dan bebas rasuah

PEMUDA Umno Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM bagi membudayakan politik berintegriti dan bebas rasuah.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata antara kerjasama yang disepakati adalah penganjuran bersama siri-siri latihan dan pendidikan buat kepimpinan Pemuda Umno di semua peringkat.

Menurutnya, ia termasuk wakil-wakil rakyat daripada Pemuda Umno yang baharu dipilih dalam pilihan raya dan Exco-Exco Kerajaan Negeri yang dilantik iaitu lapan orang dikalangan Pemuda Umno.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika kunjungan hormatnya bersama delegasi Pemuda Umno dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

“Program ini penting bagi memastikan pembudayaan politik berintegriti dan bebas rasuah dapat diterapkan sedari awal dan kepimpinan muda diberikan pencerahan praktis.

“Ia bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang amalan rasuah, pecah amanah dan apa jua yang melanggar prinsip agama, integriti dan moral,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, turut serta dalam kunjungan itu bukan sahaja kepimpinan kanan Pemuda tetapi juga tiga wakil rakyat baru di kalangan Pemuda Umno iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan; Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh; dan Adun Larkin, Mohd Hairi Md Shah.

“Ia bagi bersama-sama dalam memperhalusi pelbagai langkah bagi membudayakan politik integriti di kalangan pemimpin-pemimpin muda Umno,” katanya. – Malaysiapost

Komen