Polis siasat hadiah mi segera perisa babi kepada penderma darah

Polis siasat hadiah mi segera perisa babi kepada penderma darah

POLIS membuka kertas siasatan terhadap kes berkaitan pemberian cenderahati yang mengandungi mi segera berperisa daging babi cincang ketika program derma darah di pusat beli-belah di Batu Pahat, Johor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata polis menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara berkenaan jam 11.38 pagi semalam.

“Laporan berkenaan mengenai sebahagian daripada penderma darah menerima bungkusan cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati, program derma darah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital itu diadakan di pusat membeli-belah di Batu Pahat kelmarin.

Katanya, selepas selesai menderma darah, mereka menerima bungkusan cenderahati daripada NGO berkenaan.

“Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati di dalam beg berkenaan terdapat mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

“Susulan kejadian berkenaan, pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dengan kejadian terbabit,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail berkata, beberapa individu dipanggil dan rampasan turut dilakukan bagi membantu siasatan.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 298A/504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara ataupun denda atau kedua-duanya. – Malaysiapost

Komen