Rafidah Aziz letak jawatan pengerusi AirAsia X

Rafidah Aziz letak jawatan pengerusi AirAsia X

AIRASIA X Bhd mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif selepas berkhidmat selama lebih 10 tahun.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Julai 2022.

Susulan itu, Rafidah turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Risiko, selain pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan, lapor Berita Harian.

“…(Tan Sri) tidak lama lagi akan menamatkan tempoh yang dibenarkan, sebagai pengarah bebas.

“(Tan Sri) kemudiannya perlu mematuhi perubahan status, daripada Ahli Lembaga Bebas, kepada Pengarah Bukan Bebas, dan keperluan lain yang seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Rafidah, 78, dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah dan pengarah eksekutif bukan bebas pada 3 Mac 2011 sebelum dilantik semula sebagai pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif kumpulan pada 10 Julai 2013.

Beliau juga adalah pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan selain Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Semakan Semula Keselamatan kumpulan.

Rafidah sebelum ini adalah senator dari 1974 hingga 1978 dan Ahli Parlimen dari 1978 hingga 2013.

Beliau juga adalah Menteri Antarabangsa dan Industri paling lama berkhidmat, iaitu selama 21 tahun, dari 1987 hingga 2008.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, AirAsia X memberitahu bahawa ia melantik Tunku Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, 63, sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berkuat kuasa semalam.

Beliau juga dilantik sebagai anggota Jawatankyasa Risiko, selain anggota Jawatankuasa Audit.

Tunku Mahmood ketika ini adalah pengerusi Deutsche Bank (M) Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful Bhd.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah Hong Leong Assurance Bhd dan Hong Leong Asset Management Bhd.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai pengarah bebas kanan Telekom Malaysia Bhd (TM), pengerusi VADS Bhd, ahli lembaga pengarah Malaysia Airports Holdings Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd, Pos Malaysia Bhd, Sapura Kencana Petroleum Bhd/Kencana Petroleum Bhd, Ethos Capital One Sdn Bhd, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Energy Africa Ltd serta Engen Ltd di Afrika Selatan.

Saham AirAsia X ditutup satu sen atau 1.98 peratus lebih tinggi pada 52 sen semasa dagangan ditutup semalam. – Malaysiapost

Komen