PEMUDA Umno menegaskan kerajaan perlu memberi solusi dan perancangan jangka jangka pendek, sederhana dan panjang lebih tuntas untuk menyelesaikan isu harga ayam serta barangan makanan lain yang naik mendadak.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi perlu memainkan peranan dalam isu harga ayam dan kenaikan harga barang.
Katanya, pihak Kiandee perlu memberi jaminan bahawa pemberian subsidi penternak lebih telus.
“Apakah jaminan Menteri Pertanian bahawa karenah birokrasi dalam pemberian subsidi penternak sehingga menyebabkan RM729 juta subsidi penternakan sebelum ini gagal capai matlamat daripada berulang?
“Apakah jaminan penguatkuasaan yang lebih efektif bagi memastikan tiada sorokan(hoarding) atau penyeludupan barangan bersubsidi seperti minyak masak tidak berulang hingga rakyat pula dihukum?
“Apakah strategi kerajaan untuk memastikan harga anak ayam di peringkat penternakan lagi tidak dimanipulasi oleh kartel?,” katanya dalam Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, bagi perancangan serderhana dan panjang kerajaan perlu fokus kepada isu ‘stockfile’ bagi memastikan bekalan ayam sentiasa cukup.
Beliau juga mempersoalkan khabar angin yang menyatakan bajet untuk ‘stockpile’ masih tidak jelas untuk pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang diamanahkan untuk melaksanakannya.
“Apakah strategi Kerajaan untuk tidak lagi atau kurang kebergantungan kepada bahan-bahan input seperti dedak (jagung/kacang soya) dari luar negara?
“Apakah strategi ‘food security’ Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan daripada import yang menyebabkan harga barangan asas menjadi di luar kawalan apabila faktor-faktor global termasuk kejatuhan nilai matawang mempengaruhi import?,” soalnya. – Malaysiapost