SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menepis dakwaan kononnya wujud akuan bersumpah (SD) bagi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin negara.
Ahmad berkata, sekiranya benar dakwaan berhubung gerakan terancang berkenaan adakah Anwar individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri, hari ini.
Sebaliknya, beliau berkata, Datuk Seri Ismail Sabri yang diangkat sebagai Perdana Menteri selepas ‘pengorbanan’ dibuat 15 Ahli Parlimen termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“SD apa? Jadi ke perkara itu? Perdana menterikan DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri). Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke Perdana Menteri?
“Siapa 15 ahli Parlimen yang desak dan akhirnya Ismail Sabri jadi perdana menteri? Tajuddin (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) ke?” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Pada masa sama, Ahmad berkata hasil perjuangan Ahmad Zahid dalam Umno dibuktikan apabila wakil parti itu berjaya dilantik sebagai perdana menteri.
Beliau berkata, Ahmad Zahid juga terpaksa membayar harga yang mahal dengan melawan kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Umno dibubarkan sebelum ini.
“Dalam perjuangan yang penting adalah hasilnya…perjuangan presiden, dibantu timbalan dan ahli MKT antaranya kita menang tujuh pilihan raya.
“Yang terbesar ialah apabila 15 Ahli Parlimen mendesak yang akhirnya Ismail Sabri menjadi perdana menteri.
“Ini cerita Presiden Umno dan hasilnya, apa cerita Tajuddin, Annuar Musa (Tan Sri) dan Mohamed Nazri Aziz (Datuk Seri)…cerita mereka itu apa hasilnya?” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mengakui tidak tahu menahu mengenai kewujudan SD yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid.
Beliau berkata, pihaknya percaya dakwaan Tajuddin itu tidak akan menjejaskan imej parti kerana ramai sedia maklum akan sikap Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
“Mana saya tahu pasal SD. Saya bukan Ahli Parlimen macam Tajuddin dan Mohamed Nazri yang tandatangan banyak SD.
Nur Jazlan berkata, Tajuddin sebaiknya dipecat daripada parti apatah lagi dengan kewujudan skandal dikaitkan dengan beliau sebelum ini.
Semalam, Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost