PARTI ibarat sebuah keluarga, maka segala kemelut harus ditangani dengan semangat kekeluargaan.
Begitulah kiasan diberikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan ‘membuka pekung’ Umno oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam.
“Macam inilah, di dalam keluarga kita… kita selesai masalah melalui dalam keluarga kita. Semangat kekeluargaan dapat menyelesaikan masalah dalam keluarga kita,” katanya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar itu ditemui media pada Sambutan Ulang tahun Pelaburan MARA Berhad Ke-55 dan Majlis Pelancaran Dana Unit Amanah PMB Investment Berhad di ibu negara hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak semalam mendedahkan 130 bahagian Umno mahu Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Menurutnya, gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dibantu Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Selain itu, Tajuddin memaklumkan beliau tiada masalah untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang. – Malaysiapost