BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pertukaran Perdana Menteri menjadi isu yang dimainkan pihak tertentu bagi menarik sentimen rakyat.
Malah, Dr Mahathir berkata, pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman termasuk gesaan menandatangani akuan bersumpah (SD)menunjukkan banyak perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.
“Nampak banyak perkara berlaku yang disembunyi daripada rakyat. Ada pakatan usaha untuk adakan seorang Perdana Menteri baharu, jadi mereka main isu tukar Pendana Menteri.
“Itulah kerja mereka…bukan hendak mentadbir negara,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan dibuat Tajuddin semalam yang mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.
Tajuddin yang digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Selasa lalu mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.
Ahli Parlimen Pasir Salak turut mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri.
Tajuddin turut mendakwa Ahmad Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu. – Malaysiapost