“Yang penting adalah hasil” – Ahmad Maslan

“Yang penting adalah hasil” – Ahmad Maslan

KEMELUT dalaman yang melanda Umno kini dilihat semakin tegang susulan beberapa pendedahan dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam selepas digugurkan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Tajuddin mendedahkan bahawa 130 Bahagian Umno mahu Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dan wujud akuan bersumpah (SD) beberpa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Bagi meredakan keadaan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan tampil dengan nota di laman Facebooknya buat renungan Ahli dan penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, dalam perjuangan yang penting adalah hasil dan Presiden dengan dibantu Timbalan Presiden serta Ahli MKT Umno yang ada telah mencapai beberapa hasil setakat ini.

“Menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK). Menang daripada cuma seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada 14 + 2 di Sabah.

“Mengambil alih Negeri Perak. Menang 21/28 kerusi (75 peratus) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Rakan karib Barisan Nasional (BN) di Sarawak menang 76/82 kerusi (93 peratus), terbesar setakat ini. Menang 40/56 kerusi (71 peratus) dan menawan PRN Johor,” katanya.

Beliau berkata, hasil terbesar kepimpinan parti sekarang adalah desakan 15 Ahli Parlimen yang akhirnya Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

“Ismail Sabri juga disahkan dalam Mesyuarat MKT untuk menjadi calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Beliau berharap pasukan kepimpinan yang ada sekarang ini berjaya membawa Umno dan Barisan Nasional (BN) memenangi semula Malaysia untuk manfaat rakyat dengan menang majori dua pertiga. – Malaysiapost

Komen