PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan rakyat kini tidak lagi mudah terpedaya dengan hasutan pembangkang untuk menyertai himpunan jalanan sebagai protes isu kenaikan harga barang dan kos hidup.
Beliau berkata, hakikatnya rakyat sangsi dengan niat sebenar pembangkang yang mahu mengadakan perhimpunan harga barang berkenaan.
“Rakyat tidak naif untuk tidak mengetahui pembangkang yang mempertahankan kerajaan campuran.
“(Bagaimanapun) pembangkang yang mempertahankan kerajaan campuran (ini juga) yang mahu adakan demontrasi hentam kerajaan campuran,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Ahmad Zahid, lebih mengelirukan apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) pula tidak semena-mena dijadikan sasaran dalam agenda demonstrasi berkenaan.
“Ini bukan tahun 2018 yang semudah itu mahu memperbodohkan rakyat lagi. Rakyat tidak pernah lupa akan apa yang telah dilaksanakan oleh mereka ketika itu,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia dan konflik Rusia-Ukraine berlaku rakyat sudah terbeban dengan kenaikan harga barang.
“Respon pembangkang sebagai kerajaan 22 bulan ketika itu – rakyat jangan bergantung bantuan kerajaan.
“Rakyat jangan jadi pemalas dan kena ikat perut. Harga barang naik sebab harga barang degil tak nak turun harga,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, negara bernasib baik kerana kerajaan PH yang mentadbir selama 22 bulan telah tumbang disebabkan berebut jawatan Perdana Menteri dalam gabungan itu.
“(Jika tidak) barangkali hari ini lebih teruk rakyat dituduh sebagai pemalas dan cemburu dengan orang kaya.
“Mungkin pembangkang patut adakan perhimpunan ‘Sayangi Pembangkang, Sayangi Harga Naik’,” sindir Ahmad Zahid.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, BN dan Umno menyokong sebarang langkah dan usaha untuk menurunkan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Sebelum ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, menegaskan perhimpunan jalanan sebagaimana dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.
Justeru, Baginda bertitah suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.
Baru-baru ini, anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali didakwa mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup. – Malaysiapost