DATUK Seri Najib Razak menyifatkan Tun Dr Mahathir mempunyai perangai sama seperti Tan Sri Tommy Thomas berikutan keengganannya memberi kerjasama terhadap siasatan menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata sikap Dr Mahathir dan Tommy itu sekali gus akan menyebabkan misteri kes kehilangan Pulau Batu Puteh serta kes-kes mahkamah ke atas pemimpin Pakatan Harapan (PH) digugurkan begitu sahaja.
“Perangai Atok (Dr Mahathir) sebiji dengan si Tommy. Enggan beri kerjasama kepada kerajaan hari ini. Malah, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pun mereka tak hormat.
“Seperti laporan polis yang merupakan arahan RCI BNM ditarik balik oleh Kerajaan PH dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut ketika Atok merupakan PM dan Tommy merupakan Peguam Negara,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Najib berkata, keadaan itu juga akan menyebabkan persoalan kepada kes pendakwaan terpilih termasuk isu menggantikan hakim baharu yang tiada pengalaman mengendalikan kes mahkamahnya akan terus kekal menjadi misteri.
“Jika begini, misteri kes kehilangan Pulau Batu Puteh, kes-kes mahkamah ke atas pemimpin PH digugurkan begitu sahaja.
“(Sementara) kes-kes pendakwaan terpilih dan (persoalan) kenapa hakim baharu yang langsung tiada pengalaman kes jenayah boleh pula tiba-tiba dipindah ke mahkamah jenayah untuk ganti hakim bagi kes paling berpofil tinggi saya, biarpun perbicaraan sudah bermula akan tetap menjadi misteri,” katanya.
Jelas Najib lagi, ia termasuk skandal dana skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM33 bilion (bersamaan dengan nilai RM200 bilion) yang lesap begitu sahaja tanpa satu sen pun pernah dikembalikan.
“(Namun) tiada seorang pun yang pernah bertanggungjawab atas kehilangannya (Sakndal BNM).
“Sekiranya pernah diberi tampuk kuasa, korang (PH) (sepatutnya) perlu bertanggungjawab dan menjelaskan pada negara dan rakyat. Itu baru jantan,” katanya.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkeras tidak akan bekerjasama dalam siasatan menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selagi Tan Sri Mohamed Apandi Ali kekal sebagai pengerusi pasukan petugas khas berkenaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya sedia menjawab segala persoalan sekiranya Apandi ditukar dan pihak ketiga yang tidak mempunyai kepentingan dibawa masuk dalam siasatan. – Malaysiapost