VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad, berkata semua formula direncana Rafizi adalah semata-mata demi Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa mengambil kira sama ada ia perkara betul atau sebaliknya.
Shahrir berkata, ia dibuktikan dengan formula pertama Rafizi iaitu ‘Langkah Kajang’ dengan matlamat menjadikan Anwar sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan seterusnya diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.
“Formula Anwar jadi MB Selangor ialah inspirasi dari kerjaya hebat Presiden Erdogan yang bermula sebagai Datuk Bandar Istanbul dan juga Presiden Jokowi yang bermula sebagai Datuk Bandar Jakarta.
“Tapi sebelum itu, kena kosongkan dulu jawatan ADUN Kajang dan MB Selangor. Yang pertama itu, senang.
“Jawatan MB Selangor dikosongkan dengan menuduh Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan rasuah supaya boleh dipecat daripada parti. Betul tak betul tak kira,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Shahrir berkata, jika benar Rafizi mempunyai ‘formula-formula’ hebat yang sememangnya layak mendapat Hadiah Nobel, pastinya beliau akan dilantik sebagai penasihat oleh pertubuhan dan kesatuan antarabangsa.
“United Nation (UN) dan Bank Dunia akan juga panggil untuk dijadikan ‘consultant’ membantu kerajaan-kerajaan negara membangun,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa pemimpin Umno takut dengan segala formula yang diketengahkahnya bagi mengatasi masalah rakyat.
Menurut Rafizi, akibat ketakutan tersebut maka setiap kali beliau melontarkan idea penyelesaian masalah rakyat maka pemimpin Umno akan bersuara serentak menyanggah formula yang diketengahkan. – Malaysiapost