Kabinet tubuh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata pasukan khas itu berperanan mengumpul semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Katanya, pasukan khas itu akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” katanya.

Perdana Menteri berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights