‘Kalau mahu pasangan orang, tunggulah dia bercerai dulu’ – Shabery Cheek

‘Kalau mahu pasangan orang, tunggulah dia bercerai dulu’ – Shabery Cheek

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyelar tindakan PAS Perak yang sedia menawarkan kerusi kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shabery dalam nada kiasan, berkata sekiranya PAS mahukan pasangan orang adalah wajar parti itu menunggu sehingga individu berkenaan ‘bercerai’ terlebih dahulu serta tamat tempoh ‘edah’.

“Ada kawan saya mintak pendapat fasal tawaran Ustaz (Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria).

“Saya kata, kalau rasa nak kan pasangan orang, tunggu lah dia bercerai dulu. Kalau dah bercerai tunggulah habis edah,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Shabery berpendapat, PAS juga seharusnya menilai individu yang ingin ‘dilamar’ itu sama ada ia seorang yang boleh dipercayai atau sebaliknya.

“Kena tengok juga apakah dia suka dedahkan rahsia rumah tangga ke khalayak ramai?

“Pengetahuan agama saya taklah sehebat ustaz-ustaz ini. Mungkin saya salah. Ustaz betul semua,” katanya.

Baru-baru ini, PAS Perak menyatakan kesediaan menawarkan kerusi kepada Tajuddin Abdul Rahman untuk mewakili parti itu PRU15.

Razman berkata, tawaran itu dibuat setelah Tajuddin digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, minggu lalu.

Katanya, tawaran itu tidak bermaksud PAS mahu mencampuri urusan atau kemelut dalaman mana-mana parti lain.

“Apabila digugurkan daripada MKT Umno, tentunya Tajuddin tidak diberi peluang dalam Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRU15.

“Jadi PAS Perak sedia menawarkan kerusi Pasir Salak kepada beliau atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mewakili PAS,” katanya. – Malaysiapost

Komen