Keberanian Tajuddin persis pahlawan Pasir Salak sebenar, sinis Wan Fayhsal

Najamuddin Mohd Nor

ARMADA Bersatu menyifatkan keberanian bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuka pekung parti itu kelmarin persis pahlawan Melayu Pasir Salak zaman silam.

Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam nada sinis berkata, Armada kagum terhadap Tajuddin kerana berani mendedahkan perkara sebenar kepada pengetahuan umum.

“Saya kagumlah dengan semangat juang beliau yang berani berkata benar, memang menyerupai pahlawan Pasir Salak,” sinisnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ditanya sama ada Bersatu akan mengikut langkah PAS menawarkan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Tajuddin sekiranya dipecat Umno, Wan Ahmad Fayhsal enggan mengulas kerana perkara itu bukan urusan Bersatu.

“Saya tak boleh komen, itu bidang kuasa Perikatan Nasional (PN) Perak. Seperti kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin, itu adalah cadangan peribadi Razman Zakaria sendiri.

“Lagi pun saya tak nak komen kerana itu tiada mengena dengan parti kami,” katanya.

Kelmarin, Tajuddin mendedahkan beberapa perkara dalaman umno termasuk gerakan menjatuhkan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dua tahun lalu.

Malah, Tajuddin juga mendakwa Ahmad Zahid pernah mendesak Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights