KKM syor dos tambahan dan dos penggalak vaksin Covid-19 

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan pemberian dos tambahan (dos ketiga) dan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kumpulan kanak-kanak dan remaja yang berisiko tinggi.

Selain itu, dos penggalak kedua juga akan diberikan kepada individu berusia 18 hingga 59 tahun yang berisiko tinggi mendapat jangkitan serius atau teruk serta petugas kesihatan barisan hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi vaksin Covid-19 mencadangkan agar dos ketiga diberikan kepada kumpulan  individu berusia lima tahun hingga 11 tahun dan individu berusia 12 hingga 17 tahun yang berisiko tinggi.

“Untuk makluman pada 14 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan pemberian dos penggalak kepada individu berusia 12 ke atas yang berisiko tinggi.

“Namun berdasarkan situasi semasa tahap keberkesanan vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tingg, TWG mengesyorkan supaya dos penggalak bagi kumpulan itu dikategorikan semula sebagai dos ketiga dan menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hanya selepas melengkapkan vaksinasi primer tiga dos, barulah dos penggalak pertama boleh diberikan kepada kumpulan berisiko berkenaan.

“Langkah ini bertujuan memberi perlindungan optimum kepada kumpulan remaja berkenaan daripada risiko mendapat jangkitan Covid-19 dengan gejala yang teruk,” katanya 

Beliau berkata, justeru itu KKM ingin memaklumkan pemberian dos tambahan vaksin Covid-19 sama ada untuk melengkapkan vaksinasi dos primer sebanyak tiga dos atau sebagai dos penggalak pertama dan kedua akan dilaksanakan.

“Dos ketiga kepada individu berusia lima hingga 11 tahun yang berisiko tinggi yang disahkan oleh pakar perubatan kerajaan atau swasta dan sekurang-kurangnya lapan minggu selepas menerima dos kedua.

“Dos ketiga kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun yang berisiko tinggi yang disahkan oleh pakar perubatan kerajaan dan swasta serta sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos kedua,” katanya.

Khairy berkata, pemberian dos penggalak pertama kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun yang berisiko tinggi dan telah lengkap dos ketiga perlu pengesahan oleh pakar perubatan serta sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksinasi lengkap tiga dos.

Menurutnya, manakala kriteria kelayakan bagi dos penggalak kedua kepada individu berisiko tinggi berusia 18 tahun hingga 59 tahun dan petugas kesihatan barisan hadapan pula, adalah individu yang berisiko mendapat jangkitan serius atau teruk dan petugas kesihatan barisan hadapan seperti pegawai perubatan, jururawat dan lain-lain, selain perlu sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos penggalak pertama.

“Prosedur atau mekanisma bagi pelaksanaan pemberian dos ketiga bagi kanak-kanak dan remaja serta dos penggalak pertama bagi remaja, akan dimuktamadkan dan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

“KKM menggesa agar semua individu yang layak tampil mendapatkan perkhidmatan ini supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optima terhadap penyakit Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KKM juga akan memperluaskan pemberian vaksin Can Sino Bio sebagai dos penggalak secara heterologous kepada penetima vaksin lengkap tanpa mengira jenis vaksin dos primer. – Malaysiapost 

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights