Mas Ermieyati nafi guna dana Umno untuk kepentingan peribadi

Mas Ermieyati nafi guna dana Umno untuk kepentingan peribadi

DATUK Mas Ermieyati Samsudin menegaskan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau menggunakan dana sayap parti untuk kepentingan peribadi adalah tidak benar.

Ia dinyatakan Ahmad Zahid ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mendakwa tiga Ahli Parlimen daripada Umno melompat ke Bersatu kerana mahu menyelamatkan diri dari disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Mas Ermieyati, dana yang dimaksudkan telah diagih seperti ditetapkan parti melalui Ketua Puteri negeri-negeri dan bahagian di seluruh Malaysia.

Dana itu katanya, ketika itu digunakan bagi menjalankan program dan aktiviti serta tujuan persediaan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya.

“Saya keluar Umno secara rasmi pada 1 Julai 2018, selepas memikirkan saya hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik jika bersama kerajaan semasa, bukan sebaliknya.

“Kenyataan begini adalah dakwaan tidak berasas untuk mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi di kawasan saya dan boleh merosakkan imej serta reputasi saya sebagai pemimpin parti dan ahli Kabinet yang sedang berkhidmat.

“Namun begitu, ia dibuat dalam kandang saksi semasa memberi keterangan bersumpah dalam Mahkamah. Justeru saya perlu mengkaji lebih teliti jika perkara ini perlu ditangani dengan lebih serius dan tegas selepas ini,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Semalam Ahmad Zahid dalam keterangannya berkata Ahli Parlimen Masjid Tanah dipertanggungjawabkan dengan dana untuk menguruskan Puteri Umno dalam PRU14, namun wang itu dipindahkan ke akaun lain untuk kegunaan peribadi.

Mas Ermieyati adalah Ketua Puteri Umno ketika itu sebelum melompat ke Bersatu selepas PRU14. – Malaysiapost

Komen