PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan melakukan siasatan terperinci dan menghantar laporan kepada polis berhubung kejadian kemalangan yang mengorbankan tiga beranak di Baling, Kedah, Sabtu lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata siasatan akan dilakukan untuk mencari punca sebenar kejadian berkenaan sehingga kenderaan yang dipandu mangsa terbabas dan terjunam ke dalam sungai.
“Sepertimana laporan media, pihak Puspakom akan melakukan siasatan terperinci dan menghantar laporan kepada pihak PDRM berhubung kes ini.
“Kita mahu mencari punca berlakunya kemalangan tersebut, sehingga kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam sungai,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Ka Siong turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan turut bersedih dengan kejadian berkenaan.
Semalam, media melaporkan, polis masih menunggu laporan daripada Puspakom berkaitan insiden kereta Proton Persona yang terjunam dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kenderaan terbabit telah dihantar ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan mekanikal termasuk berkaitan brek kereta.
Katanya, proses pemeriksaan itu mengambil masa kira-kira seminggu untuk membolehkan punca sebenar diketahui sekiranya terdapat masalah pada kenderaan.
“Sama ada brek kereta tidak berfungsi atau dia bawa laju dan terlelap, kita tidak pasti yang itu. Apa pun kita tunggu laporan seterusnya dari Puspakom,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang guru dan dua anak lelakinya lemas selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai, Sabtu.
Mangsa dikenali Masyitoh Ibrahim, 37, yang juga guru agama bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri, 7, dan Mohd Ziyad Haziq Sharudin, 5, disyaki terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6.42 petang. – Malaysiapost