Pendedahan Tajuddin bukti Umno berkecamuk – Bersatu Johor

Pendedahan Tajuddin bukti Umno berkecamuk – Bersatu Johor

PENDEDAHAN Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan Umno sedang berkecamuk dengan masalah dalaman, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata ia juga membongkar tindakan atau keputusan yang membelakangkan jutaan ahli parti tersebut di seluruh negara.

Di samping itu, katanya, pendedahan Tajuddin juga menunjukkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja dilihat tidak konsisten dalam setiap kenyataan dibuatnya.

Malah, pada masa sama sanggup tidak bercakap benar kepada ahli parti demi kepentingan peribadi terutama apabila dikaitkan dengan kes mahkamah dihadapinya.

“Pendedahan Tajuddin bahawa Presiden Umno mengadu kepadanya mengenai keengganan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membantu kes mahkamah telah membuktikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin bersih dan berintegriti.

“Ia juga membenarkan setiap kenyataan dibuat Muhyiddin sebelum ini bahawa kluster mahkamah pernah meminta bantuan bagi menyelesaikan kes yang dihadapi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Sahruddin, pendedahan Tajuddin sebagai ‘saksi hidup’ diharap dapat menyedarkan rakyat khususnya ahli Umno akan ketidakjujuran oleh kepimpinan tertinggi parti tersebut selama ini.

“Amat malang bagi ahli sebuah parti yang sering melaungkan soal kestabilan politik apabila pimpinannya tidak jujur dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk berbohong untuk agenda atau kepentingan peribadi.

“Pentadbiran kerajaan juga seharusnya diterajui dan dikemudi kepimpinan berintegriti, mempunyai akauntabiliti serta prihatin terhadap kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat, bukannya mereka yang tidak memiliki nilai moral,” katanya. – Malaysiapost

Komen