Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam kini ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub
NAMA Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam kini ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub, bersempena nama Pengarah pertama Institut Teknologi MARA yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Penukaran nama persiaran itu adalah seperti dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Jun lalu.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, memaklumkan persiaran itu merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer.
“Ia bermula dari Bulatan Bistari (Seksyen 2 dan Seksyen 3) hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7 Shah Alam.
“Pertukaran nama Persiaran ini adalah bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang merupakan tokoh pendidikan negara yang dihormati dan disegani serta banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi negara khususnya pembangunan di UiTM,” menurut kenyataan itu.
Sultan Sharafudin sebelum ini menitahkan agar nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.

Titah itu telah diluluskan dan akan dikuatkuasakan serta merta oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi MBSA.
Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub kembali ke Rahmatullah pada jam 2.06 pagi, 14 Jun 2022 di usia 93 tahun.
Tokoh pendidikan negara itu adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak 1967 sehingga 1975, sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM.
Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun. -Malaysiapost


Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik