PELAKON Sharnaaz Ahmad, 36, tampil menjelaskan mengenai dakwaan beliau memukul seorang penduduk di sebuah kondominium di Sentul, baru-baru ini.
Melalui satu video di laman Instagramnya, pelakon yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Mamu’ di kalangan peminatnya itu menceritakan secara ringkas apa yang berlaku pada hari kejadian.
“Hari ini Isnin genap seminggu Mamu keluar dari reman, jadi Mamu akan keluarkan kenyataan walaupun ini bukan kenyataan rasmi seperti yang Mamu janjikan iaitu akan buat sidang media.
“Tetapi selepas dapat nasihat daripada pihak peguam dan polis..Mamu rasa baik kita tunggu sampai keputusan mahkamah itu keluar. Tetapi sebelum itu Mamu nak jelaskan sedikit, hanya untuk luaran sahaja,” katanya.
Menurutnya, penjelasan itu dibuat kerana masih ada pihak termasuk media yang melaporkan kejadian itu membabitkan kekasaran termasuk menendang, menumbuk dan memijak perut.
“Di rumah Mamu ada pengawal keselamatan dan ada penduduk..Mamu salah seorang daripada penduduk dan salah seorang penduduk iaitu pengadu..Dia ni sedang bergaduh dengan pengawal keselamatan sebab tak boleh bawa masuk minyak. Minyak itu bukan apa..kawan dia nak bawa masuk. Kita pendekkan tak perlu cerita pasal minyak tu.
“Jadi bila Mamu turun bawah, Mamu nampak tengah bergaduh, Mamu cuba pertahankan pengawal keselamatan tu, sebab Mamu tak boleh tengok orang ditindas..tak kisah dia bangsa apa..dia agama apa..dia warganegara apa, kita tak boleh tindas orang macam itu. Bila Mamu pertahankan, berlakulah benda-benda yang tidak diingini,” jelasnya.
Sharnaaz bagaimanapun menegaskan bahawa tindakannya itu langsung tidak membabitkan kekasaran seperti yang didakwa dilakukannya.
“Mamu ingin tegaskan anda semua, demi Allah..Mamu tidak menumbuk, memijak perut, mencekik, menendang perut..itu semua adalah benda-benda karut, jangan percaya dan Mamu yakin tak buat,” katanya.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah dilengkapkan pihak polis dah dihantar kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Insya-Allah kita akan tengok apa kesudahannya nanti. Kalau boleh Mamu pun tak mahu panjangkan cerita ini. Kita tengok jalan yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Sebab benda ini berlaku bukan kita minta, tapi bila dah jadi kita kena terima dengan hati yang terbuka.
“Mamu bukan cakap Mamu bagus, baik yang pihak sana jahat..tak, tetapi nak jelaskan jangan terus buat kesimpulan bila nampak orang itu direman. Reman itu adalah untuk membantu siasatan polis sebab mereka ada undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh direman pihak polis menjalankan tugas dengan baik dan beliau juga beri kerjasama kepada mereka dengan sangat baik.
“Harap video ini dapat jelaskan kepada orang-orang tertentu dan juga pihak media buat sementara waktu sebelum sidang media yang sebenarnya.
“Apa-apa yang jadi pun ingatlah apa yang kita buat adalah untuk kebaikan walaupun cara kita dipandang hina di luar tapi kalau kena dengan caranya kalau kena dengan hati kita buat itu rasa betul..betul lah jadinya,” katanya.
Sharnaaz sebelum ini direman selama tiga hari kerana disyaki memukul seorang penduduk di sebuah kondominium di Sentul, pada 16 Jun lalu, dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 20 Jun lalu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram Sharnaaz Ahmad
Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik