DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai pemimpin politik senior dalam Umno, wajar bermuhasabah diri dan berlapang dada apabila kedudukannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) secara lantikan diganti dengan pemimpin lain.
Ketua Pemuda Umno Cheras, Johari Yazid berkata serangan Tajuddin kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ia jelas mengambarkan keperibadiannya sebagai pendendam dan tidak ikhlas dalam perjuangan parti.
Katanya, kepimpinan parti telah membuat keputusan menggantikan Tajuddin dengan individu lebih berkelayakan, terutama ketika parti sedang merangka dan menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kenyataan dan tuduhan dilempar Tajuddin dalam sidang medianya jelas tidak rasional, dipenuhi elemen kebencian dan mencalarkan imej parti.
“Beliau mengambarkan seolah-olah berlaku kepincangan dalam Umno dengan wujudnya plot tertentu yang kononnya bertujuan mengulingkan Presiden melalui jalan tidak sah.
“Malah berdasarkan kenyataan dikeluarkan dalam sidang media tempoh hari, menunjukkan beliau bukan individu yang layak diletak sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana sikapnya yang panas baran, keras kepala, kurang toleransi dan sering menggunakan pendekatan “barbaric” dalam menyelesaikan isu,” katanya.
Johari menambah, pendekatan Tajuddin dalam mendepani isu penggugurannya sebagai ahli MKT Umno adalah salah dan tidak wajar.
“Kita takut ia diikuti mana-mana pemimpin dalam Umno kerana ia jelas menunjukkan sikap mabuk kuasa sehingga sanggup mencemar nama dan imej parti akibat dendam, rasa amarah dan ketamakan kepada jawatan,” katanya.
Katanya lagi, seandainya Tajuddin benar-benar ikhlas dan jujur dalam perjuangan Umno, beliau harus bersedia mengundur diri dari lanskap politik tanah air dengan tidak bertanding pada PRU15 dan pemilihan parti akan datang.
Ia menurutnya, bagi memberi peluang kepada nafas baru untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan dalam parti dan negara. – Malaysiapost
Kredit Foto: Sinar