Tajuddin wajar berehat, tidak sesuai dilantik duta

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disarankan supaya ‘berehat’, selain tidak sesuai untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin, berkata adalah tidak baik kepada imej negara jika kerajaan menghantar seorang duta yang terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Jelasnya, ramai lagi pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan yang lebih layak dan boleh dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia.

“Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang ditunjukkan membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT.

“Bahkan saya mensarankan agar beliau tidak perlu dilantik menjadi duta di Indonesia. Cukup-cukuplah memegang jawatan dalam parti dan juga kerajaan, berilah ruang dan peluang pemimpin lain pula untuk berkhidmat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin berkata, kenyataan Tajuddin yang menyelar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai tindakan tidak bijak dan memalukan dirinya sendiri.

Justeru, katanya, keputusan MKT memecat Ahli Parlimen Pasir Salak itu adalah amat tepat.

“Jangan hanya kerana ingin menjaga hati kawan-kawan, nama parti dan imej negara terpalit sekali lagi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan memalukan.

“Sebagai pemimpin kita sudah terikat dengan amanah dan janji, bila dibuka segala minit mesyuarat hanya kerana dilucutkan jawatan, itu hakikat menunjukkan Tajuddin adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah,” katanya.

Beliau berkata, sebagai presiden, Ahmad Zahid telah membuktikan kredibilitinya sehingga Umno kembali menerajui negara dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, Ogos tahun lalu.

“Beliau (Ahmad Zahid) dikenakan tindakan mahkamah setelah menjadi Presiden dan pada masa itu parti Umno ditekan sampai lumat di saat parti tiada kuasa.

“Walaupun Presiden diheret ke Mahkamah tiap-tiap minggu, beliau dan barisan kepimpinannya telah berjaya (membawa parti) memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri termasuk Melaka dan Johor,” katanya.

Justeru, Muqharabbin berkata, kini tiba masa untuk seluruh ahli parti menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) dan bukannya memecahbelahkan parti dari dalam.

“Jangan diungkit hal yang lalu, kita harus fokus untuk menghadapi PRU15 dan bukannya menimbulkan kekalutan dalam kalangan ahli parti,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights