Tok Pa bersedia disiasat

AHLI Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwanya menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada Umno Kelantan.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), berkata semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya.

Menurutnya, ia diuruskan oleh Jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan.

“Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang membuat kenyataan bahawa saya, Ahli Parlimen Jeli merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan pada masa itu, telah menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk bahawa saya telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada Umno Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menafikan bahawa penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa

“Selepas PRU-14, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019.

“Sebagai bekas Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline.

“Sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, pula saya telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Mustapa berkata, kenyataan Ahmad Zahid pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini dan pihak SPRM telah menafikannya pada 20 September 2018.

“Manakala Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

“Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Bersatu dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan Umno Kelantan bagi PRU-14.

“Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,”katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights