TRW Kelantan FC sedia ‘jaga’ Stadium Shah Alam

TRW Kelantan FC sedia ‘jaga’ Stadium Shah Alam

PEMILIK TRW Kelantan FC, Norizan Tukiman tidak bersetuju dengan cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang rasmi skuad Selangor FC.

Sebaliknya usahawan dan pakar pelaburan itu berkata, beliau sedia jika stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dipajakkan kepada TRW Kelantan FC.

“Dari roboh stadium tu, baiklah pajakkan ke TRW Kelantan FC. Isnya-Allah saya bersedia,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu hari ini, media melaporkan Stadium Shah Alam akan dirobohkan dan sebagai ganti, sebuah stadium berkapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton akan dibangunkan di tapak sama.

Tujuan pembinaan stadium baharu berkapasiti lebih kecil supaya stadium tersebut lebih mudah dijaga dan diselenggara ber­banding Stadium Shah Alam.

Stadium kebanggaan rakyat Selangor itu ditutup sejak Mac 2020 susulan isu keselamatan membabitkan struktur bumbung yang bocor hingga membahayakan penonton.

Pada Ogos 2020, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan bahawa kerja-kerja baik pulih stadium itu memerlukan masa dua tahun sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Pada 21 Ogos tahun lalu, Amirudin dilaporkan berkata Stadium Shah Alam bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf yang dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

Menurutnya, proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan swasta itu dilaksana secara perkongsian berkonsepkan perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.

Stadium Shah Alam dibuka secara rasmi pada 16 Julai 1994 dengan perasmiannya disempurnakan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah.

Upacara perasmian berlangsung gilang-gemilang, dilaporkan dihadiri lebih 120,000 rakyat Selangor, 40,000 melebihi kapasiti sehinggakan ribuan penonton terpaksa duduk bersila di atas trek.

Perlawanan bola sepak rasmi pertama di Stadium Shah Alam menemukan pasukan Pilihan Selangor dan kelab dari Scotland, Dundee United sejurus selepas upacara pembukaan.

Aksi berkesudahan seri 1-1 dengan pemain Dundee, William McKinlay melakar sejarah pemain pertama menggegar jaring gol di Stadium Shah Alam. Gol penyamaan Pilihan Selangor dijaringkan Allahyarham Annuar Abu Bakar. – Malaysiapost

Komen