KETUA Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tiga Ahli Parlimen yang didakwa melakukan salah guna kuasa.
Laporan berkenaan dibuat kepada Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman, pada jam 12 tengah hari tadi di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Nasrul Ali dalam satu kenyataan, memaklumkan laporan itu dibuat susulan keterangan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah semalam berhubung dakwaan berkenaan.
Menurutnya, Ahmad Zahid dalam keterangannya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tiga Ahli Parlimen daripada Umno melompat ke Bersatu untuk menyelamatkan diri dari disiasat SPRM.
“Tiga nama tersebut adalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah; Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Jeli; dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Bagan Serai.
“Pendedahan terhadap ketiga-tiga nama tersebut adalah keterangan yang perlu dipertanggungjawabkan kerana disebut di dalam mahkamah yang mulia,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan tentang dana atau peruntukan yang dinyatakan juga bernilai sehingga puluh jutaan ringgit dan wajar untuk turut disiasat sumbernya juga sama ada ia adalah dari Umno atau dana kerajaan.
“Ini dikhuatiri tujuan dan tindakan penggunaan wang sebesar ini membawa impak buruk kerana pemimpin mengajar amalan rasuah hingga ke peringkat bawahan.
“Justeru, Wira PUTRA memohon dan menggesa SPRM untuk segera lakukan siasatan yang telus dan bawa mereka ke muka pengadilan sekiranya benar terdapat unsur-unsur penyelewengan atau salah guna kuasa atas kepentingan peribadi,” katanya.
Ahmad Zahid ketika membela diri di mahkamah semalam, mendakwa Ahli Parlimen Masjid Tanah dipertanggungjawabkan dengan dana untuk menguruskan Puteri Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun wang itu dipindahkan ke akaun lain untuk kegunaan peribadi.
Kes Ahli Parlimen Jeli pula katanya, individu tersebut mengetuai Umno Kelantan yang bertanggungjawab membawa pengundi dari luar untuk mengundi dalam PRU14 tetapi wang RM30 juta tidak dibelanjakan.
Ahli Parlimen Bagan Serai pula dikatakan menyeleweng dana pembangunan kawasan Parlimennya.
Ahmad Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri. – Malaysiapost